Isu kebersihan perlu diberi perhatian menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Tahun Melawat Malaysia
PETALING JAYA – Malaysia perlu memberi tumpuan serius terhadap isu kebersihan khususnya pembuangan sampah menjelang penganjuran acara antarabangsa yang bakal berlangsung mulai tahun hadapan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, negara akan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disasarkan menerima 35 juta pelancong dengan anggaran pendapatan sebanyak RM147 bilion daripada sektor pelancongan.
“Kita perlu pastikan kebersihan negara terjaga kerana dalam zaman media sosial ini, sebarang kekurangan boleh tersebar pantas melalui platform seperti TikTok. Jika kebersihan diabaikan, imej negara boleh terjejas di mata dunia,” katanya di sini hari ini.
Kor Ming juga menekankan kepentingan memberikan tanggapan positif kepada pelancong yang bakal tiba, memandangkan persepsi mereka terhadap kebersihan negara boleh mempengaruhi reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kajian untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) sedang dijalankan dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun hadapan setelah mendapat kelulusan jemaah menteri.
Beliau menjelaskan pindaan ini penting untuk menangani isu pembuangan sampah dengan lebih berkesan, termasuk cadangan untuk melaksanakan hukuman khidmat sosial ke atas pesalah.
“Hukuman khidmat sosial telah terbukti berjaya di beberapa negara maju dalam mendidik pesalah menjadi lebih bertanggungjawab. Oleh itu, kita melihat keperluan untuk menguatkuasakan pendekatan yang sama di negara ini,” tambahnya.
Katanya, langkah itu diharap dapat memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa dengan imej yang bersih dan terurus.