BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Perlis fatwakan GISBH sebagai ajaran sesat

KANGAR – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai sebuah organisasi yang mengandungi unsur-unsur ajaran sesat, terutamanya dari sudut batiniah.

Keputusan ini menjadikan Perlis sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengambil langkah tersebut.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan bahawa fatwa itu dikeluarkan selepas jawatankuasa menerima bukti kukuh yang menunjukkan pengajaran dan kepercayaan yang dianuti oleh GISBH adalah sesat.

“Ajaran GISBH ini merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata, ajaran sesat yang dianuti oleh GISBH berasaskan fahaman batiniah yang menjurus kepada pengkultusan pemimpin mereka sehingga melampaui batas agama.

“Kumpulan ini mengkultuskan pemimpin mereka seolah-olah menyamakan kedudukan mereka dengan Nabi SAW atau menganggap pemimpin tersebut memiliki keajaiban serta mampu mengetahui perkara ghaib, yang jelas menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah,” katanya lagi.

Beliau turut menambah bahawa pengkultusan ini membawa kepada ketaksuban yang melampau, di mana para pengikut mentaati pemimpin mereka tanpa mempertimbangkan sama ada arahan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Perlis juga mendapati model ekonomi yang diamalkan oleh GISBH bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar, malah bercanggah dengan prinsip Islam.

“Mereka melakukan eksploitasi terhadap ahli, termasuk kanak-kanak, wanita dan keluarga, demi kepentingan pemimpin yang mereka kultuskan,” tambah beliau.

Selain itu, ahli-ahli GISBH didapati mengambil keberkatan secara melampau daripada sisa tubuh badan pemimpin mereka, satu amalan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Mufti Perlis turut menyeru masyarakat Islam supaya memainkan peranan dalam membantu ahli-ahli GISBH yang ingin keluar daripada kumpulan tersebut.

“Peruntukan zakat boleh digunakan untuk pemulihan ahli GISBH yang ingin kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ini termasuk pembiayaan pendidikan, bantuan guaman, dan dakwah pemurnian akidah,” katanya lagi.

Sekolah-sekolah yang mempunyai manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah juga disaran untuk mengambil anak-anak bekas ahli GISBH bagi memberikan pendidikan yang sewajarnya.

Dalam masa yang sama, Mohd Asri menegaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama untuk memantau aktiviti GISBH agar kumpulan tersebut tidak kembali mengamalkan ajaran sesat.

Jawatankuasa Fatwa Perlis berharap agar langkah ini dapat melindungi masyarakat daripada ancaman ajaran sesat serta membantu mereka yang terjerumus kembali ke landasan Islam yang benar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button