Berita Semasa

Kerajaan negeri sedang pantau beberapa madrasah, pusat amal kebajikan – MB Negeri Sembilan

SEREMBAN – Beberapa sekolah persendirian aliran agama yang tidak berdaftar termasuk yang dikawal Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) kini berada dalam pemantauan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini terdapat antara tiga hingga empat sekolah, madrasah atau pusat amal kebajikan di Seremban, Kuala Pilah dan Nilai, yang sedang disiasat serta dipantau.

“Kita menjalankan siasatan menyeluruh melalui JHEAINS terhadap sekolah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sebelum kes ini (dakwaan eksploitasi kanak-kanak) timbul.

“Setakat ini kita hanya mengesyaki beberapa sekolah termasuk yang dikawal GISB kerana ada kemungkinan pihak tertentu menggunakan nama lain.

“Namun, JHEAINS sedang kenal pasti sekolah-sekolah atau pusat amal berkenaan hasil tindakan penguatkuasaan dijalankan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sembilan Ke Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, di Klana Resort, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, JHEAINS mengambil dan sedang mengumpulkan maklumat mengenai operasi dan kegiatan yang dilakukan institusi itu.

“Kita ambil maklumat terhadap beberapa sekolah di seluruh negeri seperti sekolah agama, madrasah dan sebagainya.

“Kita tidak mahu ada berlaku pengajaran dan pendidikan yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini belum ada mana-mana institusi atau jumlah sekolah berkenaan yang diarah tutup,” katanya.

Semalam, pihak polis menerusi Ops Global menyerbu 18 buah rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan dan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak yang dipercayai terlibat dalam kes eksploitasi.

Show More

Related Articles

Back to top button