Berita SemasaPM X

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 luar biasa, disambut penuh semangat – PM Anwar

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2024 kelmarin perlu dimanfaatkan bagi memperbaiki prestasi dalam segala bidang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan itu berlangsung dalam keadaan luar biasa dan menunjukkan satu semangat yang mengesankan.

“Kita bersyukur kerana sambutan kemerdekaan 2024 ini begitu menyemarakkan semangat rakyat dan saya perhatikan sambutan itu hebat dan luar biasa di seluruh negara.

“Jadi kita (perlu) memanfaatkan ini untuk meyakinkan, pertama diri kita dan tentunya, manfaat kepada negara iaitu dengan memperbaiki prestasi kita dalam segala bidang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Anwar turut berkata, kita perlu mensyukuri keamanan dan kestabilan negara, disusuli dengan semangat rakyat yang kian menyamarak.

“(Pada masa yang sama) Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua, (terutama) dipengerusikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tetapi saya tahu semua jabatan terutama Jabatan Perdana Menteri yang sangat terkait dengan beberapa acara utama.

“(Terima kasih juga kepada) anak-anak sekolah, institusi pengajian tinggi dan pertunjukan daripada angkatan pertahanan kita terutama udara sangat menakjubkan,” katanya lagi.

Pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, Sabtu lalu, acara sambutan yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut dihadiri lebih 100,000 hadirin.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan tahun ini juga menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.

Show More

Related Articles

Back to top button