BERITA SEMASA

Perarakan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan tapi simbolik perkukuh integrasi nasional

PUTRAJAYA – Dalam semangat Hari Kebangsaan ke-67, Malaysia bakal menyaksikan perarakan unik yang menampilkan kepelbagaian budaya dan tradisi negara melalui Segmen Komuniti yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara.

Acara ini dijangka menarik perhatian ramai dengan kehadiran 600 peserta yang berpakaian etnik mewakili pelbagai kaum dan etnik dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan termasuk Orang Asal.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, betapa pentingnya acara seperti itu dalam memupuk semangat perpaduan dan menghargai kepelbagaian yang dimiliki Malaysia.

“Tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka,” bukan sahaja menonjolkan nilai teras negara tetapi juga menggambarkan kebebasan rakyat dalam meraikan identiti mereka.

“Kontinjen Perpaduan Malaysia Madani itu adalah simbol kepada kekuatan yang kita miliki melalui kepelbagaian. Ia mengingatkan kita bahawa walaupun berbeza, kita tetap satu dalam membina sebuah negara yang harmoni dan maju,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa dalam usaha memperkukuhkan perpaduan nasional, rakyat Malaysia perlu menerapkan konsep ‘Faham, Hormat dan Terima’ dalam kehidupan seharian mereka.

Aaron percaya bahawa pemahaman yang mendalam terhadap budaya, adat resam dan cara hidup setiap kaum akan membuka ruang kepada penerimaan dan penghormatan, seterusnya mengurangkan jurang perbezaan antara kaum.

“Perarakan yang bakal berlangsung pada esok itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi juga sebagai satu simbolik kepada usaha negara dalam mengukuhkan integrasi nasional.

“Dengan pelbagai kaum dan etnik berkumpul bersama-sama, acara ini diharap dapat mencerminkan semangat kesatuan yang kukuh dalam masyarakat Malaysia,” katanya lagi.

Aaron berkata, acara perbarisan ini juga merupakan salah satu inisiatif Kementerian Perpaduan Negara dalam memastikan semangat perpaduan dan muhibah terus subur dalam kalangan rakyat.

“Kementerian Perpaduan Negara akan terus memberi fokus kepada usaha-usaha yang meningkatkan jati diri, kenegaraan serta semangat sukarelawan di kalangan rakyat Malaysia.

“Malaysia Madani bukan sekadar slogan, ia adalah cerminan kepada siapa kita sebagai satu bangsa. Dalam semangat Jiwa Merdeka, marilah kita teruskan usaha membina sebuah negara yang bersatu, harmoni dan progresif,” katanya lagi.

Perarakan Hari Kebangsaan esok dijangka menjadi satu lagi detik bersejarah yang memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button