BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Mangsa tetak meninggal dunia di Hospital Jasin

JASIN – Mangsa yang diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, di sini maut ketika menerima rawatan di Hospital Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa berusia 22 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 10.25 malam selepas dihantar ke hospital berkenaan oleh adiknya.

Berdasarkan video yang tular, polis mengesahkan kumpulan penyerang mengejar mangsa sehingga masuk ke kawasan hospital.

“Mangsa sempat menghubungi adiknya untuk meminta pertolongan dihantar ke hospital. Bagaimanapun cermin kereta adik mangsa turut dipecahkan oleh sekumpulan penyerang.

“Ketika cuba melarikan diri, kereta dipandunya terlanggar sebuah ambulans menyebabkan kenderaan berkenaan kemek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Bagaimanapun, Ahmad Jamil berkata, adik mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada kumpulan lelaki itu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Susulan itu, beliau berkata, tiga lelaki berusia 21, 22 dan 31 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan dan motif atau punca kejadian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohamad Ehsan Abu Bakar melalui talian 016-5209501 atau 06-529 2222 (sambungan 206)

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button