Berita SemasaPM X

Hubungan Malaysia, India ditingkat kepada Perkongsian Strategik Komprehensif

NEW DELHI – Malaysia dan India bersetuju meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan bersama untuk meningkatkan hubungan kepada CSP itu menandakan satu langkah ke hadapan yang penting buat kedua-dua buah negara.

“(Hubungan) Ini mesti diperkukuhkan lagi dalam pelbagai bidang,” kata Anwar yang mengetengahkan sektor seperti pelaburan digital, perdagangan, pembinaan, pertanian, pendidikan, penyelidikan, dan kerjasama ketenteraan, termasuk operasi bersama untuk menjaga sempadan.

Anwar yang berada di India bagi lawatan rasmi tiga hari ke negara itu sejak semalam, berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi di Hyderabad House, di sini hari ini.

Status hubungan dua hala Malaysia-India sebelum ini ditingkatkan kepada ESP pada 2015 semasa lawatan Modi ke Malaysia.

Sementara itu, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Modi dan kerajaan India atas layanan mesra mereka dan menegaskan bahawa Malaysia menganggap India sebagai “kawan yang hebat dan sejati”.

Beliau berkata, perbincangannya dengan Modi, baik dalam mesyuarat dua hala mahupun perbualan peribadi, cukup terbuka dan terus terang, meliputi semua isu, termasuk isu sensitif, yang mencerminkan erti persahabatan yang sebenar.

Perdana Menteri turut menyentuh inisiatif dan program baharu yang akan menggalakkan kerjasama lanjut antara syarikat-syarikat India dan Malaysia, khususnya dalam bidang yang mencabar seperti peralihan tenaga, pendigitalan dan keterjaminan makanan.

Beliau secara khusus menekankan kepentingan kerjasama dalam industri semikonduktor, dengan Malaysia diiktiraf sebagai hab di Asia Tenggara, dan mengiktiraf pencapaian India dalam bidang ini.

Show More

Related Articles

Back to top button