Berita SemasaPM X

Anwar, Modi saksikan pertukaran lapan MoU

NEW DELHI – Malaysia dan India hari ini memperkukuh lagi hubungan dua hala dengan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai sektor.

Antara MoU yang ditandatangani termasuk mengenai pengambilan pekerja asing, perubatan tradisional ayurveda, teknologi digital, budaya, pelancongan dan pentadbiran awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke India semalam dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, bersama-sama menyaksikan MoU itu di Hyderabad House, di sini.

MoU Pengambilan, Penggajian dan Repatriasi Pekerja, ditandatangani Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, dan Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar.

MoU Ayurveda dan Sistem Perubatan Tradisional ditandatangani Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya, Jaishankar.

Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Jaishankar memeterai Mou Kerjasama Dalam Sektor Teknologi Digital,

Mou Kerjasama Dalam Bidang Budaya, Seni dan Warisan, ditandatangani oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing dan Jaishankar, yang masing-masing turut menandatangani MoU Kerjasama Pelancongan.

Mou Pentadbiran Awam dan Reformasi Kerajaan pula membabitkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kementerian Luar India Timur, Jaideep Mazumdar.

Mou Kerjasama Dalam Sektor Belia dan Sukan ditandatangani Mohamad Hasan dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy.

MoU di antara Lembaga Perkhidmatan Pusat Kewangan Antarabangsa dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) bertukar di antara Pengerusi LFSA, Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzillah dan Jaishankar.

Pada majlis itu, Pengerusi Bersama Forum CEO India-Malaysia, Tan Sri Kuna Sittampalam menyampaikan Laporan Forum CEO India-Malaysia ke-2 kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perjanjian ini dijangka mengukuhkan lagi perkongsian strategik di antara kedua-dua negara, menggalakkan kerjasama merentasi pelbagai bidang dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan bersama.

Show More

Related Articles

Back to top button