Azizulhasni mungkin tidak jadi bersara
SEPANG – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meminta sedikit masa bagi
mempertimbangkan semula keputusannya untuk bersara.
Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu mengakui, beliau masih tidak dapat menerima sepenuhnya terhadap apa yang berlaku pada Temasya Olimpik Paris 2024.
Olimpik kali ini menyaksikan episod duka buat The Pocket Rocketman selepas penyertaannya dalam acara Kierin dibatalkan susulan pintasan yang dilakukan Azizulhasni terhadap derny atau motosikal sebelum ia keluar daripada gelanggang perlumbaan.
Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu sebelum ini dilaporkan berkata, beliau berdepan dengan himpitan agresif daripada pelumba Perancis semasa perlumbaan.
Jelas beliau, halangan yang dilakukan terhadapnya itu dibuat secara sengaja sehingga berlaku berlanggaran dan hampir menyebabkan beliau terjatuh.
“Buat masa sekarang, saya rasa saya perlukan masa kerana untuk kali ini, sangat mencabar. Bukan sahaja fizikal, latihan keras saya sudah biasa tetapi mental, saya ada keluarga, anak yang sedang membesar dan sentiasa bertanya kepada saya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Hadir sama, rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Hannah memberi jaminan bahawa kementerianya akan memberikan sepenuh sokongan kepada Azizulhasni sekiranya masih ingin meneruskan kariernya.
“Selagi beliau mampu berlawan dan selagi badan beliau boleh (bertahan), kita akan berikan sokongan. Jadi bagi beliau masa untuk berbincang dengan keluarga beliau,” kata Hannah.
Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata, rakan ada rakan sepasukannya yang memujuk beliau agar kembali beraksi pada Olimpik Los Angeles 2028.
“Saya perlukan masa untuk duduk bersama keluarga, kosongkan fikiran saya daripada apa yang berlaku. Apa yang berlaku ini, di luar kebiasaan dalam karier saya tetapi bagi saya, mereka tahu, kalau saya berhenti pun saya masih akan aktif dengan sukan terutama berbasikal.
“Saya akan terus berkayuh tetapi paling penting, kalau mereka perlukan bantuan saya, kalu Shah perlukan rakan sepelatih, bantu dia atau ada pelumba muda mahukan rakan sepelatih, saya boleh pertimbangkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








