Berita SemasaPM X

Bukan RM6 bilion tapi RM16 bilion untuk Sabah

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menepiskan dakwaan kononya kerajaan pusat ‘memutar belit’ jumlah peruntukan yang diberikan kepada kerajaan negeri Sabah.

Beliau berkata, pengumuman peruntukan berjumlah RM16 bilion untuk Sabah adalah peruntukan keseluruhan bagi tahun ini dan bukannya RM6 bilion seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

“Mesti ditegaskan sekali lagi tatkala terdapat beberapa pihak yang keliru dan cuba menangguk di air yang keruh terkait perkara ini.

“Jumlah besar yang diperuntukkan ini adalah untuk perbelanjaan pelbagai perkara termasuk pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas hadir pada Himpunan Perdana Rakyat di Kota Kinabalu hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tersebut meliputi perbelanjaan untuk pendidikan, bantuan pendidikan, pengawalan sempadan dan pembangunan negeri.

“Bukan RM6.6 bilion sahaja (seperti didakwa), kerana itu hanya peruntukan pembangunan…siapa nak bayar guru, siapa nak baiki jalan dan jaga sempadan, itu semua termasuk dalam RM16 bilion.

“Ada yang kata letak (nombor) satu di depan jadilah RM16 bilion, jangan begitu. Kalau mahu jadi kawan, perangai mesti macam kawan.

“Mesti ada adab. Kalau tidak cukup kita boleh runding,” katanya.

Pada 31 Mei, ketika berucap menutup Pesta Kaamatan 2024 di Penampang dekat sini, Anwar memaklumkan beliau sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan untuk Sabah bagi membantu rakyatnya, iaitu daripada RM12.9 billion pada 2022 kepada RM16 billion tahun ini.

Sementara itu, Perdana Menteri juga menggesa kerajaan negeri memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah disiapkan secepat mungkin demi manfaat rakyat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button