Polis tangkap semula suspek kes culik kanak-kanak perempuan 6 tahun
JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan tangkapan semula seorang lelaki yang sebelum ini ditahan berhubung kejadian culik kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun, Albertine Leo Jia Hui di kawasan Eko Galleria, 20 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, M. Kumar dalam satu satu kenyataan hari ini berkata, tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan ekoran penemuan pelbagai alatan mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediaman suspek di Kulai.
Siasatan dijalankan di bawah peruntukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Manakala bagi Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Sehubungan itu katanya, masyarakat terutamanya golongan ibu bapa dinasihati agar sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dikesan lebih awal dan penjenayah dapat dibawa kemuka pengadilan.
Sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-2212999.