Berita Semasa

Pemandu pelancong beroperasi tanpa lesen, tamat tempoh bakal dikompaun – MOTAC

PUTRAJAYA – Pemandu pelancong yang beroperasi tanpa lesen yang sah atau dengan lesen tamat tempoh dan belum mengemukakan permohonan pembaharuan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, pihaknya memandang serius berhubung perkhidmatan pemandu pelancong yang beroperasi tanpa lesen atau lesen telah tamat tempoh kebelakangan ini.

Menurut MOTAC, menerusi Operasi Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam yang dilaksanakan sejak 2 Julai 2024, sebanyak 12 notis pemeriksaan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

“Seksyen 21, Akta 482 menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh bertindak, atau menganjurkan dirinya, sebagai seorang pemandu pelancong melainkan dia dilesenkan di bawah Aka tersebut.

“Pelanggaran peruntukan ini merupakan suatu kesalahan undang-undang dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM7,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, MOTAC berkata, tiada tindakan kompaun akan dikenakan kepada pemandu pelancong yang telah mengemukakan permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan dan masih menunggu kelulusan serta kad kuasa daripada MOTAC.

Jelas MOTAC, pemandu pelancong dikehendaki menghubungi Pejabat MOTAC Negeri bagi mendapatkan penerangan lanjut seta memastikan mereka tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang semasa menunggu proses pembaharuan selesai.

“MOTAC juga menyarankan pemandu pelancong berlesen untuk menghadiri kursus-kursus pemantapan kompetensi seperti kursus Continuing Tourism Related Education (CTRE) sebagai pra-syarat pembaharuan lesen serta mengemukakan permohonan pembaharuan lesen dalam tempo yang ditetapkan selaras dengan Seksyen 32, Akta 482.

“Kursus CTRE ini adalah latihan atau kursus berterusan yang bertujuan menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pemandu pelancong,” katanya.

Semua permohonan lesen baharu dan pembaharuan lesen boleh dikemukakan secara atas talian melalui sistem Tourism Licensing & Enforcement System (TOURLIST) di laman sesawang https://www.tourlist.gov.my/

Show More

Related Articles

Back to top button