Tidak ada seorang pun yang datang minta maaf kepada kami – bapa Zulfarhan
PETALING JAYA – Ibu bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman yang terkorban akibat buli memberitahu tiada seorang daripada pesalah yang menyebabkan kematian anaknya datang meminta maaf sejak kejadian itu berlaku pada 2017.
Bapa Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idros dan ibunya, Hawa Osman dalam temu bual sebuah rancangan radio hari ini berkata, setakat ini hanya orang kena tuduh (OKT) yang dikenakan hukuman di bawah Akta 330 yang dibebaskan tanpa perlu bela diri tampil berbuat demikian.
Katanya, ibu bapa pesalah juga tidak pernah memohon maaf kepada mereka walaupun beberapa kali bertembung di mahkamah.
“Selama tujuh tahun naik turun Mahkamah Tinggi sehingga ke Mahkamah Rayuan…bertembung, kadang-kadang sampai berlaga bahu, tapi tidak ada (permohonan maaf),” katanya.
Dalam pada itu, Zulkarnain turut mengucapkan terima kasih kepada pengirim surat layangyang bertanggungjawab melaporkan kejadian itu kepada warden bagi membantu Allahyarham.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau yang menghantar surat layang, beliau ini seboleh-boleh hendak menyelamatkan nyawa anak saya.
“Keduanya kalau beliau ada kesempatan, bolehlah beliau menghubungi saya. Saya lebih suka bersemuka ataupun boleh jumpa di mana-mana kalau ada kesenangan, kelapangan masa,” katanya.
Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan dihukum gantung mati oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini.