Berita Semasa

RUU wajibkan pendidikan sehingga sekolah menengah dibentang tahun depan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah bakal dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara itu sedang dibincangkan dan dimuktamadkan di peringkat KPM sebelum dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara bagi tujuan semakan dan ulasan perundangan.

Jelas Kah Woh, pindaan tersebut adalah bagi melaksanakan dasar mengurangkan keciciran pelajar.

“Pindaan itu juga adalah lanjutan daripada persetujuan dasar oleh Jemaah Menteri yang telah pun diberikan pada bulan Jun lalu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr. R. Nelson yang mahu bertanyakan mengenai status dalam mewajibkan pengajian sekolah menengah di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Wong berkata, setakat 31 Disember lalu, kadar enrolmen murid sekolah rendah adalah sebanyak 99.11 peratus.

“Bagi mengelakkan isu keciciran ini, setiap tahun KPM menyediakan kira-kira 18 jenis bantuan sekolah melibatkan bantuan umum dan bantuan khusus. Contohnya bantuan pakaian seragam dan bantuan awal persekolahan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button