SUKANBERITA SEMASA

Sukma Sarawak : Alasan tidak cukup bajet tidak masuk akal – Hannah Yeoh

TAIPING – Kekurangan peruntukan tidak harus dijadikan alasan kepada kerajaan negeri untuk menghantar atlet di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak pada Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya telah meminta semua menteri besar dan ketua menteri memperuntukkan bajet yang mencukupi bagi menampung kos penyertaan kontinjen sukan masing-masing.

“Saya kira bukan banyak peruntukan yang diperlukan untuk menghantar kontinjen mereka ke Sarawak.

“Jadi ini adalah perbelanjaan yang wajar dikeluarkan oleh kerajaan negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Hannah berkata, faktor kekurangan dana atau kewangan tidak seharusnya dijadikan alasan kerana penglibatan semua negeri dalam sukan itu bukan kali pertama.

“Ini bukan alasan kukuh yang boleh diberikan kerana Sukma ini bukan kita bagi satu bulan notis, mereka sudah tahu dari tahun lepas.

“Kita sudah usahakan di mana untuk acara berjalan, ia mesti ada enam negeri yang mengambil bahagian jadi senarai itu telah diumumkan dalam mesyuarat Sukma terdahulu.

“Semua pihak boleh membuat rujukan kepada kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara,” katanya lagi.

Hannah juga menyatakan kekecewaannya ekoran banyak kategori sukan yang melibatkan atlet wanita dikeluarkan kerana alasan peruntukan.

Sebelum itu Hannah menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Menteri Belia Dan Sukan anjuran Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama (LMS) bersama bekas atlet-atlet Taiping.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button