BERITA SEMASA

Syed Saddiq pertahan kemenangan podiumnya dalam triathlon di Desaru

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini tampil menafikan tuduhan tidak menggunakan laluan yang betul semasa menyertai Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru 113 di sini baru baru ini.

Dalam satu rakaman video yang dikongsi di media sosial, Syed Saddiq berkata, sepanjang pertandingan beliau memakai peranti yang merekodkan masa dan telah melalui semua ‘checkpoint’ yang ditetapkan.

“Saya juga menyemak dengan Pasukan Teknikal 1 semasa perlumbaan untuk memastikan bahawa saya benar-benar menamatkan pusingan berbasikal,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pencapaian podium dalam pertandingan baru-baru ini adalah hasil daripada persediaan dan keadaan fizikal yang lebih baik.

Mengimbau cabaran pada acara triathlon yang disertainya dua bulan lalu, beliau mengakui berdepan prestasi yang kurang memuaskan kerana hanya tidur selama empat jam sebelum pertandingan.

Bagaimanapun katanya, penyertaan beliau dalam triathlon lebih kepada pencapaian diri sendiri dan untuk kesihatan mental, bukannya untuk memperoleh pingat atau trofi.

“Dari menjadi seseorang yang baru dalam komuniti ini, hingga penyertaan ketiga dalam jarak 113 kilometer, ia benar-benar satu perjalanan yang mengubah hidup saya,” katanya.

Terdahulu, kemenangan tempat ketiga Syed Saddiq dalam Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru 113 di sini baru-baru ini tular kerana timbul dakwaan penipuan oleh peserta yang mendakwanya tidak menggunakan laluan yang betul.

Menurut satu komen yang dimuat naik di laman sosial oleh seorang peserta tersebut berkata, Syed Saddiq berada di barisan belakang semasa acara renang dan berbasikal namun secara mengejut memotongnya semasa acara larian.

“Saya perasan awak berada di belakang saya semasa berenang. Dan awak tak pernah memotong saya semasa berbasikal, tetapi semasa larian, awak dah ada di hadapan saya. Macam mana boleh jadi begitu?,” katanya melalui satu komen di laman sosial Syed Saddiq.

Individu itu juga mendakwa perbandingan masa Saddiq dalam dua perlumbaan terdahulu turut mencetuskan kecurigaan.

Menurutnya, dalam perlumbaan IRONMAN Desaru dua bulan lalu, Saddiq mencatat masa 3 jam 31 minit untuk acara berbasikal.

Namun dalam pertandingan 113 Triathlon Desaru 2024 pada 7 Julai lalu, beliau dikatakan mencatat masa 2 jam 37 minit untuk jarak yang sama, iaitu 90km.

“Pelumba terpantas dari Sepanyol pun catat masa 2 jam 31 minit. Awak memang betul-betul laju?” sinisnya.

Sementara itu, pelbagai reaksi muncul di media sosial, termasuk dari kalangan komuniti triathlon dan multisport yang mendakwa hasil keputusan Saddiq tidak masuk akal.

“Komuniti ironman dan multisport bukannya besar sangat dan kami bukanlah bodoh bila tengok result tak masuk akal,” katanya.

Dengan pelbagai tuduhan dan spekulasi yang timbul, ramai yang mendesak pihak penganjur Desaru 113 dan badan pengelola membuat siasatan kerana mungkin terdapat skandal dalam perlumbaan triathlon di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button