Lelaki dituduh lakukan khianat dengan api
Dakwa diupah sindiket ah long dari Singapura
ALOR GAJAH – Seorang lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana melakukan khianat dengan api membabitkan kerugian berjumlah RM8,281.82, bulan lalu.
Tertuduh, Yew Weng Dong, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan sebuah kereta jenis Perodua Alza milik seorang wanita berusia 35 tahun.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman Mengkuang Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah, 6 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000.
Peguam Dan Francis yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan rendah dengan alasan keluarga tertuduh tidak berkemampuan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bercagar beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Ogos depan untuk serahan dokumen.
Laporan media sebelum ini menyebut, polis berjaya menahan seorang lelaki selepas dipercayai mengambil upah daripada sindiket along di Singapura dengan bayaran RM1,000 untuk melakukan kes khianat menggunakan bom petrol buatan sendiri.
Dalam laporan sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dipetik sebagai berkata, suspek mendakwa mempelajari cara membuat bom petrol melalui laman sosial dan mengambil upah kerana mahu melangsaikan hutang along selepas dia terlibat dengan judi di Genting Highlands, Pahang.