Lelaki cetuskan kekecohan dalam pesawat MH122 dituduh di mahkamah
SYDNEY – Mahkamah Sydney hari ini mendakwa seorang lelaki di atas tuduhan membuat ancaman bom palsu ke atas pesawat Malaysia Airlines MH122, pada Isnin lepas.
Polis Persekutuan Australia (AFP) mengesahkan Muhammad Arif Ali, 45, turut berdepan pertuduhan tidak mematuhi arahan keselamatan kru kabin dan membuat kenyataan palsu untuk merosakkan pesawat berkenaan.
“Lelaki berkenaan cuba menakut-nakutkan penumpang lain apabila dia mendakwa terdapat ‘bahan letupan’ di dalam beg galas yang dibawanya.
“Langkah kecemasan terpaksa diambil kerana gangguan ketika penerbangan tersebut,” ujar jurucakap AFP.
Sementara itu, Muhammad Arif turut dilaporkan menimbulkan kekecohan di mahkamah ketika perbicaraan kesnya.
Dia dilaporkan enggan muncul dalam perbicaraan menerusi video di mahkamah Sydney selama hampir tiga jam, selepas enggan meninggalkan selnya.
Dia kemudian dilaporkan dipaksa keluar dari sel oleh Majistret Greg Grogin.
Peguam bela suspek, Mostafa Daoudie dilaporkan memberitahu Grogin bahawa anak guamnya, warganegara Pakistan-Australia, mempunyai masalah mental yang serius dan tidak berada dalam keadaan fikiran yang waras ketika kejadian itu berlaku.
Muhammad Arif ditahan selepas Majistret enggan membenarkan dia diikat jamin.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun serta denda lebih A$15,000 (RM44,993) jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian pada Isnin lepas, pesawat yang MH122 yang membawa 199 penumpang bersama 12 kru dan sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik susulan satu ‘insiden kecemasan’ di udara.
Pesawat itu kemudiannya dilaporkan mendarat dengan selamat di Sydney pada pukul 3.45 petang (waktu tempatan).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















