PMX

Indikator baharu ukur tahap kos sara hidup rakyat diumum November ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Indikator Kos Sara Hidup (KSH) baharu sedang diteliti dan dijangka diumumkan pada November ini.

Jelas Perdana Menteri, indikator tersebut adalah bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat dengan lebih terperinci menerusi pecahan mengikut daerah, sekali gus memberi gambaran secara kolektif berkaitan jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah.

Anwar berkata, ia merangkumi keperluan bagi kehidupan wajar yang lebih menyeluruh iaitu makanan dan minuman, pakaian, perumahan, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, komunikasi serta keperluan lain.

“Pada masa ini, indikator KSH sedang dalam peringkat akhir penyediaan untuk dimuktamadkan dan diumumkan pada awal November 2024.

“Pengiraan indikator ini membabitkan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, 162 daerah pentadbiran serta mengikut lokasi bandar dan luar bandar. Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digunakan sebagai asas perbandingan relatif,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya mengenai perkembangan terkini indikator baharu diumumkan kerajaan Mac lalu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat.

Anwar berkata, pembangunan indikator KSH secara terperinci sehingga ke peringkat daerah sangat penting dalam usaha penilaian semula pengukuran tahap kos sara hidup rakyat.

Kata beliau, ini memandangkan, penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya mengukur perubahan harga sertat ertakluk kepada penawaran dan permintaan bagi barangan dan perkhidmatan.

Sehubungan itu, kerajaan memutuskan supaya indikator KSH berdasarkan nilai keperluan perbelanjaan bulanan isi rumah diterbitkan bagi melengkapi indikator KSH sedia ada.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, indikator KSH disusun bagi mendapatkan perbezaan kos bagi harga barangan dan perkhidmatan yang diperoleh isi rumah mengikut lokaliti.

Selain itu, KSH membolehkan pengukuran berdasarkan sumber pendapatan yang diterima sama ada daripada gaji tetap, bekerja sendiri, pulangan daripada aset dan pelaburan serta pindahan semasa yang diterima sama ada daripada kerajaan, swasta atau individu lain.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sebelum ini bersetuju supaya Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button