Berita Semasa

Kerajaan diseru kembangkan program tahfiz, masukkan elemen teknologi terkini

PUTRAJAYA – Kerajaan diseru agar program tahfiz dikembangkan ke peringkat yang seterusnya dengan memasukkan elemen-elemen berkaitan teknologi dalam kurikulum pelajar.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, ia bertujuan agar pendidikan bersepadu dapat dilaksanakan pada semua peringkat sistem pendidikan negara.

“Mutakhir ini semakin ramai rakyat Malaysia memilih dan memberi keutamaan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah agama atau sekolah tahfiz.

“Sekarang adalah waktu yang paling tepat supaya program ini dicorak untuk dikembangkan lagi ke peringkat yang lebih bersifat lokal, luas dan ke tahap seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara cadangan dalam merealisasikan usaha itu termasuk pembudayaan sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM); kecerdasan buatan (AI); Internet pelbagai benda (IoT); big data analytics; robotics technology; renewable energy; food sovereignty dan teknologi nuklear dalam kurikulum pelajar.

Katanya, gabungan subjek tahfiz dan sains sebelum ini dilihat berjaya mencapai tahap dan prestijnya yang tersendiri dalam beberapa model di negara.

Sebagai contoh, penggabungan Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT), program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembelajaran bahasa ketiga dalam pengajian pelajar.

“Dalam usaha kita menjadikan Islam sebagai teras kepada pembangunan tamadun negara kita dan dunia secara amnya, institusi agama/tahfiz adalah potensi kecemerlangan yang terbaik untuk dihidangkan kepada murid- murid di negara kita pada waktu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar pihak yang berkepentingan memberi perhatian terhadap momentum dan pencapaian institusi agama atau tahfiz dalam usaha membangunkan sistem pendidikan di Malaysia secara lebih holistik.

Show More

Related Articles

Back to top button