BERITA SEMASA

Banjir Penampang: Wanita dihanyutkan air deras ditemukan meninggal dunia

PENAMPANG – Wanita yang dihanyutkan arus deras selepas menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap akibat banjir di sini awal pagi tadi, ditemukan meninggal dunia.

Menurut Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton, jasad Monica Ting Siew Kwong,37,ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tersangkut di celah pokok berhampiran rumah penduduk pada kira-kira pukul 8 pagi tadi di Kampung Hungab di sini, kira-kira 500 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras.

Terdahulu, pasukan SAR yang memulakan operasi mencari sejak pukul 1.45 pagi tadi, menjumpai kasut yang dipakai mangsa tidak jauh dari lokasi penemuan jasadnya, dan ini menjadi petunjuk yang membantu pencarian mangsa.

Sammy berkata, jasad mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi tadi, mendiang bersama suaminya, Hii Ding Wei,39, sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan kepada penduduk terperangkap banjir di Pekan Donggongon dekat sini.

Ketika pasangan terbabit cuba melalui kawasan ditenggelami banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, mangsa dengan tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun arus deras memisahkan pasangan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button