Keputusan MFL tidak adil buat Selangor FC, belakangkan semangat kesukanan – Exco
SHAH ALAM – Hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) disifatkan menekan, tidak adil dan membelakangkan semangat kesukanan dalam bola sepak, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi.
Menurut Najwan, keputusan seharusnya dibuat dengan mengambil kira permohonan Selangor FC yang memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih 2024 susulan insiden keganasan melibatkan Faisal Halim dan beberapa pemain lain.
“Saya telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan menggesa mereka agar mengemukakan bantahan terhadap keputusan ini,” katanya di laman X malam tadi.
Semalam, Selangor FC memaklumkan, pihaknya sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya susulan denda tersebut.
Terdahulu, MFL mendenda Selangor FC
sebanyak RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025.
Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat bagi membincangkan ketidakhadiran Selangor FC pada perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei lepas.
Skuad Gergasi Merah juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan dan MFL, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.
Lebih buruk, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan berlangsung tanpa penonton.
Selangor sebelum ini menarik diri susulan daripada insiden jenayah yang membabitkan pemain mereka apabila pemain sayap Selangor, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.