
Penemuan rangka manusia rungkai kehilangan remaja sejak 26 Mei
BATU PAHAT – Penemuan rangka manusia dalam semak di kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, dekat sini semalam, akhirnya merungkai kehilangan seorang remaja yang sebelum ini dilaporkan oleh keluarganya sejak 26 Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pengesahan identiti itu dibuat menerusi pengecaman dokumen dan barangan oleh ahli keluarga mangsa.
“Penemuan rangka di tepi Jalan Yong Peng-Muar itu kira-kira pukul 11.15 pagi tadi (semalam) oleh orang awam, selain terdapatnya sebuah motosikal yang mengalami kerosakan di lokasi dan dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Motosikal yang ditunggang mangsa disyaki terbabas ke tepi jalan dan terlanggar tiang elektrik, menyebabkan mangsa terhumban ke kawasan semak yang agak curam di dalam kebun durian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Shahrulanuar menambah, walaupun pengecaman sudah dilakukan keluarga, pengesahan rasmi identiti rangka yang dijumpai akan disahkan setelah laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) diperolehi.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain secara selari juga dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa,” katanya.
Terdahulu, bapa mangsa Abd Halid Sugiman, 44, menyatakan nombor pendaftaran motosikal yang ditemukan tersangkut di celah pokok, sama dengan motosikal digunakan anaknya.
“Sebelum ini, setelah tidak pulang selepas keluar rumah pada 25 Mei, kami sekeluarga berusaha mencarinya di beberapa jalan yang mungkin dilalui termasuk Jalan Tongkang Pechah, Parit Raja, Sri Bengkal namun tiada petunjuk,” katanya.
Difahamkan, remaja berkenaan pergi ke rumah rakannya di Kampung Parit Ju, Tongkang Pechah untuk menonton bola sepak sebelum dilaporkan hilang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








