Berita SemasaPM X

Malaysia, China meterai 14 MoU, MoA

PUTRAJAYA – Malaysia dan China hari ini memeterai 14 memorandum persefahaman, memorandum perjanjian (MoU/MoA), protokol dan kenyataan bersama melibatkan sembilan kementerian.

Disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang, sembilan kementerian terlibat adalah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Kewangan; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Turut sama terlibat adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Komunikasi.

Untuk MITI, pertukaran dokumen melibatkan dua MoU, iaitu mengukuhkan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital dan menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.

Selain MoU tersebut, Malaysia dan China turut memeterai kitaran kedua program lima tahun Malaysia-China untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan bagi meningkatkan lagi hubungan antara industri dalam sektor-sektor yang menjadi keutamaan seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.

Program itu juga akan meningkatkan kerjasama dalam bidang robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula niaga, selain penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian dan industri utama.

Bagi Kementerian Komunikasi, dua MoU telah ditukar. MoU pertama dengan China Media Group mengenai kerjasama dalam bidang media manakala MoU kedua untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pos antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan China State Postal Bureau.

Di bawah Kementerian Kewangan, pertukaran dokumen melibatkan kenyataan bersama mengenai tetingkap tunggal kebangsaan untuk inisiatif perdagangan rentas sempadan manakala di bawah KPT, MoU adalah mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Di bawah MOSTI, MoU mengenai program pertukaran rakyat kepada rakyat sains dan teknologi serta di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pertukaran MoU untuk bidang perumahan dan pembangunan bandar.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin turut mengadakan pertemuan tertutup untuk membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Anwar dan Qiang turut dijadualkan menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan mengakhiri jadual mereka hari ini dengan menghadiri majlis makan malam untuk ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Show More

Related Articles

Back to top button