Berita Semasa

Raja Muda Kedah rasmikan TPS 2024

Program berterusan Nuklear Malaysia promosi pengkomersialan produk, perkhidmatan dan latihan teknologi nuklear yang aman dan selamat

ALOR SETAR – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah hari ini menganjurkan Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase – TPS 2024) Siri 2 di Muzium Padi, di sini.

Program selama dua hari ini disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Kedah, Dzowahir Ab Ghani; Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan; dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri.

Dalam majlis yang sama, Raja Muda Kedah turut merasmikan Galeri Padi Nuklear di mana pengunjung Muzium Padi Kedah berpeluang mendapatkan maklumat dan peranan Nuklear Malaysia dalam penghasilan variasi benih padi baharu NMR 152.

Program TPS merupakan salah satu platform berterusan Nuklear Malaysia dalam rangka promosi pengkomersialan produk, perkhidmatan dan latihan teknologi nuklear yang aman dan selamat kepada rakyat dan industri, dan pada masa yang sama meningkatkan minat pelajar dalam pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ia juga selari dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan peningkatan penggunaan teknologi nuklear aman sebanyak 40 peratus dengan nilai pelaburan industri RM2.4 bilion menjelang tahun 2030.

Melalui program ini, hasil penyelidikan dan pembangunan daripada para penyelidik Nuklear Malaysia dapat diketengahkan merentasi pelbagai bidang seperti aplikasi teknologi nuklear dalam sektor agropertanian, teknologi pemprosesan sinaran, perindustrian, alam sekitar, perubatan, kesihatan dan keselamatan sinaran, kejuruteraan nuklear dan latihan.

Show More

Related Articles

Back to top button