SUKAN

Kaedah empowerment salur bantuan untuk PSK diperkenal semula – Hannah

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan semula kaedah penyaluran peruntukan kewangan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melalui kaedah empowerment.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah itu sebagai cara dan solusi untuk membantu PSK yang mengalami kekangan dalam pengurusan logistik dan pembangunan sukan atlet.

“Penyaluran ini adalah untuk kegunaan program Podium dan Pelapis Kebangsaan bagi tahun 2024. Ini akan melibatkan 19 PSK serta melibatkan 23 jenis disiplin sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Perjanjian bagi Penyaluran Peruntukan Kewangan kepada PSK Melalui Kaedah Empowerment di Majlis Sukan Negara hari ini.

Dalam pada itu Hannah berkata, sebelum ini, kaedah penyaluran sebegini pernah dilaksanakan oleh MSN kepada PSK untuk pelaksanaan program Kita Juara 2017.

“Pada masa itu, sebanyak 42 jenis sukan yang terlibat sebagai persediaan ke temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Kaedah ini diteruskan sehingga tahun 2019.

“Kini, melalui belanjawan Kerajaan Madani kita laksanakan kembali kaedah empowerment. Pelaksanaan ini tidak lain tidak bukan untuk pastikan setiap program latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun serta terancang,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, antara elemen-elemen bantuan yang disalurkan adalah pengurusan atlet, pengurusan jurulatih, pengurusan pusat, pengurusan prestasi, program binaan dan khidmat sokongan.

Hannah berkata, amalan ini turut dilaksanakan oleh negaranegara lain antaranya Australia, Amerika Syarikat, Jepun, dan China.

Sementara itu katanya, penyaluran akan dibuat 4 bulan sekali iaitu pada Januari-April, Mei-Ogos dan September-Disember.

“Antara kelebihan dalam pelaksanaan kaedah ini adalah penyaluran bantuan kewangan berbentuk geran ini akan mengurangkan proses kerja sama ada di peringkat MSN mahupun PSK.

“Sebagai contoh, peruntukan yang disalurkan akan memudahkan proses tempahan tiket kapal terbang yang lebih menjimatkan berbanding pembelian saat akhir.

“Proses pendaftaran pasukan ke kejohanan antarabangsa juga dapat dilakukan dengan lebih awal tanpa sebarang denda kelewatan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button