Mutu TVET mampu dipertingkat jika amalan sakau, rasuah dihentikan – PM Anwar
KUALA LANGAT – Kerajaan memberi jaminan bahawa mutu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu dipertingkat dengan peruntukan lebih besar sekiranya amalan rasuah dan kegiatan ‘sakau’ yang mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit dapat dihentikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mempunya potensi yang besar dalam bidang TVET khususnya dalam sektor semikonduktor yang kini mendapat perhatian pelabur asing.
“Kalau semua pihak bekerjsama dengan pelaburan yang masuk, kestabilan politik serta tindakan berani dan kita hentikan kerja-kerja sakau, beli barang TVET harga RM40 juta, sakau RM5 juta. Hendak buat projek tebatan banjir, harga RM1 bilion, sakau RM200 juta.
“Khianat ini mesti dihentikan supaya kita dapat pulangkan wang kepada rakyat. Golongan muda kena faham, sebab orang marah kita, apa asyik cakap soal sakau, rasuah dan tatakelola? Ya, kerana inilah menyebabkan kita sulit untuk mencari wang sekarang.
“Tangkap di KLIA (Lapangan Terbanga Antarabangsa Kuala Lumpur), Pelabuhan Klang, saya beritahu kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), geledah, tangkap siapapun yang mencuri hak negara kerana kita hendak selamatkan Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut melancarkan Dasar TVET Negara 2030.
Dasar tersebut bakal menjadi rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan bidang berkenaan secara holistik dapat dilakukan menjelang 2030.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








