BERITA SEMASA

Wanita hamil anak kembar maut kemalangan bersama suami

GUA MUSANG – Seorang wanita mengandung anak kembar dan suaminya yang merupakan seorang tentera maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Gua Musang-Lojing di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian jam 9.35 pagi itu, mangsa, Ridwan Effendy Yusof, 43, dan isterinya, Suhana Khairudin, 37, yang sarat hamil enam bulan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, dua anak kepada pasangan yang maut itu mengalami kecederaan.

Katanya, keluarga tersebut dikatakan dari arah Ipoh, Perak menghala ke Gua Musang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Kia Rio yang dipandu tentera tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh tembok longkang di tepi jalan.

“Akibat pelanggaran tersebut, anggota tentera terbabit tercampak keluar dari kereta,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kedua-dua anak pasangan tersebut yang berusia 9 dan 15 tahun dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

“Mayat suami isteri itu dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat,” ujar beliau.

Choon Foo memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkait kejadian tersebut boleh menghubungi talian 012-4027283,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button