Perdana Menteri akan sampaikan Perutusan Negara 9 malam ini
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Perutusan Negara secara langsung di semua saluran media tempatan pada pukul 9 malam ini.
Antara yang bakal disentuh dalam ucapan Perdana Menteri adalah hasil lawatan rasmi kerajaan ke Qatar dan tiga buah negara Asia Tengah iaitu Kyrgyztan, Kazakhstan dan Uzbekistan.
Beliau yang baru sahaja pulang daripada mengetuai delegasi kerajaan sebelum ini telah mengumumkan sasaran pelaburan dan kerjasama ekonomi dengan pemain-pemain industri utama di empat negara berkenaan.
Perutusan juga dijangka menyentuh isu terkini berhubung soal keselamatan dalam negara susulan beberapa insiden yang berlaku termasuk serangan Balai Polis Ulu Tiram dan di perkarangan Istana Negara, beberapa hari lalu.
Perdana Menteri juga akan mengulas perkembangan terkini usaha mencari jalan damai dalam konflik di Palestin.
Siaran itu juga akan disiarkan di platform media sosial stesen televisyen tempatan dan media sosial Perdana Menteri.