Jenayah & Mahkamah

PDRM cari ‘Muhammad Imran Suresh’ bantu siasatan kes simbah asid

KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pemilik akaun Instagram yang menggunakan nama ‘Muhammad Imran Suresh’ susulan kenyataan dikeluarkan berkaitan kes simbah asid pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hantaran di media sosial tersebut mendakwa, mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang menimpa Faisal.

“Jadi, kita mahu kesan dia untuk melihat maklumat apa yang dia ada boleh membantu siasatan.

“Mana-mana individu yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan boleh tampil bukan mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menjejaskan siasatan,” katanya kepada Kosmo Online, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin memaklumkan siasatan lanjut dari pelbagai sudut masih dilakukan terhadap suspek yang ditahan direman semalam.

Tambah beliau, orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak betul yang boleh menjejaskan siasatan.

Terdahulu, sebuah akaun media sosial dengan nama ‘Muhammad Imran Suresh’ memuat naik hantaran mendakwa mengetahui kejadian sebenar yang menimpa pemain bola sepak tersebut.

Selain itu, pemilik laman sosial Instagram berkenaan turut mendakwa telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes melibatkan Faisal.

Show More

Related Articles

Back to top button