Mahkamah Tinggi tolak rayuan Siti Bainun ketepikan keputusan bersalah aniaya, abai Bella
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan bersalah ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas sabitan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom, Bella.
Hakim, Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun selaku perayu untuk mengetepikan sabitan bersalah terhadapnya.
Susulan keputusan itu, mahkamah akan mendengar rayuan hukuman penjara 12 tahun yang telah dijatuhkan keatasnya sebelum ini.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini pada Februari hingga Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.