Berita Semasa

Fitnah pegawai MCMC, laporan polis dibuat terhadap Chegubard, Salim Iskandar dan Papagomo

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis terhadap tiga individu iaitu Badrul Hisham Shaharin, Mohamad Salim Iskandar dan Wan Muhammad Azri Wan Deris kerana membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai suruhanjaya itu.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan,
laporan polis tersebut dibuat semalam berdasarkan kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu berkenaan di platform media sosial TikTok, Facebook serta Youtube pada 17 April lalu.

“Kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai MCMC bertindak di bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik, selain bersifat penyalahgunaan kuasa.

“Pada masa sama, ada antara tiga individu tersebut telah memfitnah MCMC dengan menyatakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa, serta bertanya bila kerajaan akan bertukar,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sebagai sebuah badan berkanun, MCMC melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,
dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung di dalamnya.

Oleh itu, MCMC berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat individu-individu ini dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan.

“Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawak Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh
dikenakan hukuman denda sehingga RM 50,000 atau penjara tidak sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihat dan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebar sebarang kandungan tidak sahih atau palsu,” ujarnya.

Sebelum ini, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard dan Salim dipanggil memberi keterangan di MCMC manakala Wan Muhammad Azri atau Papagomo pula dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur.

Untuk rekod, pada Januari lalu, PDRM mengesahkan Papagomo dan Chegubard dipanggil bagi dirakam percakapan berhubung gerakan Langkah Dubai yang didakwa bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button