BERITA SEMASA

Kementerian Komunikasi wujudkan pelbagai inisiatif bantu penggiat industri kreatif pelbagai kaum

KUALA LUMPUR – Dana Kandungan Digital (DKD) di bawah Kementerian Komunikasi merupakan antara kemudahan geran yang disediakan oleh kerajaan bagi penggiat industri kreatif sejak tahun 2015 sehingga kini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dana tersebut adalah terbuka untuk semua kaum sebagai galakan penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta serta berpotensi tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Bagi DKD, dua agensi di bawah kementerian terlibat sebagai pelaksana, iaitu FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dan MyCV (MyCreative Ventures Sdn. Bhd).

“Pada masa yang sama, MyCV turut menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan di bawah CENDANA, PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara), PRISMA (Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia) dan inisiatif PEMULIH (Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi) bagi membantu penggiat industri yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” kata Nie Ching di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr R. Nelson yang bertanya mengenai program khas kementerian Komunikasi bagi membantu artis kaum India menjana kewangan mereka, memandangkan mereka telah dipinggirkan sejak zaman COVID-19 lagi.

Nie Ching seterusnya menambah, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) turut menyediakan platform seperti TV, Radio, Media Sosial serta platform OTT(Over The Top) RTMKlik bagi membantu mempromosi penggiat industri kreatif daripada pelbagai kaum termasuklah kaum berbangsa India.

“Sebagai contoh, RTM menyediakan program pencarian bakat baharu Bintang MINNAL dan program Limpahan Cahaya sempena sambutan Deepavali dan lain-lain.

“RTM juga telah menerbitkan drama khas Tamil yang mengangkat tema kekeluargaan sebanyak empat episod bertajuk “Nee En Anne” yang bersiaran di saluran TV2 pada 8 hingga 12 Nov 2023.,” katanya.

Beliau kemudiannya berkata, RTM melalui Perolehan Program Swasta Baharu Bahasa Tamil dan Khas Deepavali juga telah menawarkan kepada pembekal yang melibatkan karyawan berbahasa Tamil untuk program seperti Drama Bersiri Berbahasa Tamil, Telemovie Khas Sempena Deepavali, Telemovie Umum, Dokumentari Khas Bertemakan Deepavali dan Majalah Gaya Hidup Dalam Bahasa Tamil untuk siaran di saluran-saluran TV RTM.

“Program-program yang disiarkan di TV dan radio secara tidak langsung membantu mempromosi artis-artis dan penggiat industri berbangsa India dan seterusnya memberi manfaat dari aspek penjanaan pendapatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button