Bisnes & Ekonomi

Mana nak dapat majikan macam ini?

PAKEJ umrah percuma, elaun wang tunai setiap hari sepanjang Ramadan, duit raya, elaun untuk pasangan dan pelbagai lagi.

Itu antara imbuhan yang diberikan pihak pengurusan Kumpulan VFive kepada kakitangan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang berkhidmat di dalam syarikat berkenaan.

Sempena Ramadan tahun ini, sebanyak 38 pakej umrah (lawatan 10 hari terakhir Ramadan) dihadiahkan sebagai menghargai khidmat dan jasa kakitangan dari pelbagai peringkat.

Elaun harian sebanyak RM50 juga diberikan sepanjang bulan puasa ini dan hadiah RM2,000 setiap seorang sempena Aidilfitri.

Tidak dilupakan, hadiah khusus diberikan kepada pasangan setiap kakitangan atas beban kerja yang kadang-kala menuntut pengorbanan lebih masa di pejabat.

Terdahulu , Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas Kumpulan VFive, Datuk Mohd Syafiq Abdullah mengumumkan hadiah sebuah Proton X90 kepada Ketua Bahagian Kreatif syarikat itu atas kecemerlangan tugas-tugas reka bentuk visual yang dihasilkan.

“Untuk terus berkembang dalam perniagaan, kami berpegang kepada prinsip perlu sentiasa menggandakan kebaikan dan berusaha untuk membantu seramai mungkin,” katanya pada Majlis Iftar Perdana 2024 di Dewan SW Banquet, semalam.

Majlis Iftar Perdana 2024 anjuran Kumpulan VFive di Dewan SW Banquet, Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, beliau memaklumkan VFive menerusi pertubuhan kebajikannya, Yayasan VFive mengagihkan sumbangan berjumlah RM2 juta sepanjang Ramadan ini.

Antara inisiatif yang dilaksanakan badan korporat itu termasuklah sumbangan 500 pek makanan iftar harian dengan kerjasama JAWI, sumbangan 5,000 set bakul makanan, tajaan iftar Ramadan, edaran bubur lambuk dan pelbagai lagi bantuan kebajikan meliputi lebih 100 masjid, surau dan juga pertubuhan bukan kerajaan.

“Kehadiran Ramadan sebagaimana kita semua sedia maklum adalah sarat dengan kemuliaan dan keberkatan.

“Justeru amat rugi jika kita tidak mengimarahkannya dengan melakukan amal kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Majilis Iftar Perdana 2024 yang dianjurkan oleh VFive Group berkenaan merupakan wadah bagi mengeratkan ukhuwah antara warga kerja bersama pemegang taruh, di samping menyantuni tetamu jemputan yang antaranya terdiri daripada anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.

Pada majlis tersebut, VFive Group turut menyalurkan sumbangan Infaq Mahabbah Ramadan kepada 14 masjid, surau, pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan, sekolah dan juga NGO di sekitar Lembah Klang yang disampaikan dalam bentuk replika cek.

Datuk Mohd Syafiq Abdullah (dua dari kiri) meraikan anak-anak tahfiz pada Majlis Iftar Perdana 2024 di Dewan SW Banquet, Kuala Lumpur, semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button