BERITA SEMASA

Majikan bermasalah dilarang ambil pekerja asing

KUALA LUMPUR – Majikan yang mempunyai rekod pelanggaran undang-undang perburuhan, gagal mematuhi perintah mahkamah atau pernah disabitkan kesalahan berkaitan buruh paksa tidak dibenarkan menggajikan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, kerajaan memandang serius sebarang bentuk penindasan terhadap pekerja terutama golongan rentan seperti pekerja migran, termasuk isu penahanan pasport dan kegagalan membayar gaji.

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah memperketat syarat kelulusan penggajian di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 bagi memastikan hanya majikan yang mematuhi undang-undang dibenarkan menggajikan pekerja asing.

“Majikan yang melanggar peruntukan akta boleh dikenakan tindakan pendakwaan. Pada masa sama, penguatkuasaan diperkukuh melalui pemeriksaan dan pemantauan berfokus oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTK),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang berhubung langkah kementerian dalam membanteras amalan penderaan pekerja migran serta keberkesanan tindakan yang diambil.

Ramanan berkata, kerajaan turut menyediakan mekanisme aduan yang mudah diakses melalui aplikasi e-Aduan di bawah sistem ePPAx bagi membolehkan pekerja asing menyalurkan aduan secara terus kepada JTK tanpa melalui orang tengah.

“Dari aspek perlindungan sosial, pekerja asing diwajibkan dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 menerusi Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan Pekerja Asing yang meliputi perlindungan terhadap kemalangan, keuzuran serta kematian.

“Kerajaan juga melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (2021-2025) sebagai komitmen membanteras amalan buruh paksa secara menyeluruh melalui pendekatan pencegahan, perlindungan dan pendakwaan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, keperluan pekerja asing dalam industri akan terus dioptimumkan bagi memastikan kelangsungan perniagaan, namun berlandaskan prinsip keutamaan kepada pekerja tempatan serta pematuhan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button