BERITA SEMASA

Yayasan Maghfirah raikan golongan asnaf, anak yatim sempena Ramadan

BANGI – Seramai 350 orang asnaf dan anak yatim diraikan dalam Majlis Amal Maghfirah 2024 (MAM) anjuran Yayasan Maghfirah di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di sini kelmarin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maghfirah, Muhammad Shuib Norudin,
majlis berbuka puasa itu bertujuan meraikan jemputan yang terdiri daripada anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), pelajar tahfiz dan anak-anak asnaf tajaan kelas Sahabat Al-Quran (SAQ) Yayasan Maghfirah.

“Tahun ini kita buat kelainan sikit kita beri duit raya dan pada masa yang sama kita sajikan mereka dengan hidangan berbuka puasa istimewa khusus buat pelajar tahfiz dan asnaf yang hadir,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Majlis turut dirasmikan oleh Timbalan Mufti negeri Perak, Datuk Zamri Hashim.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Maghfirah dan Pengerusi Ahli Lembaga, Mohd Sahrularifin Ab Manan; Duta Yayasan Maghfirah, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi dan Duta Ramadan Yayasan Maghfirah Dr Mohd Erfino Johari.

Majlis Amal Maghfirah 2024 (MAM) anjuran Yayasan Maghfirah diadakan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Muhammad Shuib berkata, MAM merupakan majlis yang dianjurkan dibawah projek kempen Raikan Ramadan 2024 yang dilancarkan pada 6 Februari lalu.

“Kempen Raikan Ramadan ini membuka ruang dan peluang kebaikan merebut keberkatan Ramadan kepada masyarakat Malaysia untuk berkongsi rezeki bersama keluarga asnaf dan golongan yang memerlukan di luar sana.

“Yayasan Maghfirah telah menyasarkan seramai lebih 10,000 orang bakal menerima manfaat kempen ini dengan sasaran jumlah agihan sebanyak RM500,000,” jelasnya.

Sebagai rekod, pada tahun lalu, Yayasan Maghfirah telah berjaya mengagihkan bantuan lebih RM300,000 kepada 10,609 asnaf di seluruh negara menerusi tiga agihan khusus Ramadan iaitu projek Kongsi Rezeki, Jiwa Peduli dan Infaq al-Quran.

Majlis Amal Maghfirah 2024 (MAM) anjuran Yayasan Maghfirah diadakan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di sini kelmarin.

Selain itu, Yayasan Maghfirah juga sedang mengusahakan sebuah projek iaitu
Pembangunan Pusat Latihan dan Dakwah (PLD) Yayasan Maghfirah di Lenggeng, Negeri Sembilan dan rangkaian sekolah Maghfirah.

“Projek ini dilaksanakan bertujuan untuk membangun masyarakat melalui pendidikan Islam yang syumul. Alhamdulillah, pada tahun 2023, Maahad Tahfiz Al Maghfirah (MATAM) telah mula beroperasi.

“Bermula Mac tahun ini, dua cawangan Sekolah Rendah Islam Integrasi Maghfirah (SRII Maghfirah) telah mula beroperasi,” kata Muhammad Shuib.

Dalam pada itu, Yayasan Maghfirah juga menyasarkan penubuhan Maghfirah Islamic Leadership Boarding School (MILBOS) Malaysia, sebuah sekolah menengah berasrama penuh pada tahun 2027.

“Untuk menyumbang boleh disalurkan melalui akaun bank Maybank 562263552802 atau lebih mudah melalui laman sesawang kami,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button