Kerajaan jamin bekalan barang, harga stabil sepanjang Ramadan – PMO
PUTRAJAYA – Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberi jaminan bahawa bekalan dan harga barangan keperluan harian akan dipastikan terkawal sepanjang bulan Ramadan sehingga menjelang Syawal.
Dalam taklimat media hari ini, PMO memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peningkatan permintaan barangan pada musim perayaan tidak boleh dijadikan alasan untuk berlakunya kekurangan bekalan atau kenaikan harga secara melampau.
Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah diarah memperhebat pemantauan menerusi Ops Pantau 2026 bagi memastikan harga kekal berpatutan di seluruh negara.
“YAB Perdana Menteri turut mahu pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan di seluruh negara diselia dengan lebih rapi agar kekal munasabah dan berpatutan.
“Beliau turut menitikberatkan agar premis perniagaan menepati
piawaian kebersihan dengan sokongan kemudahan yang baik oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.
Menurut kenyataan itu, Program Jualan Rahmah MADANI akan diteruskan sepanjang Ramadan bagi membolehkan rakyat memperoleh barangan asas pada harga lebih rendah.
“Kerajaan MADANI komited memastikan Ramadan dan Syawal tahun ini disambut dengan penuh makna tanpa beban kos sara hidup yang berlebihan,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, PMO turut menegaskan kerajaan memandang serius penyebaran fitnah, tohmahan dan rujukan palsu yang didakwa bertujuan memburukkan usaha kerajaan serta menggugat ketenteraman awam.
Berhubung isu penghinaan al-Quran melibatkan seorang mahasiswa, kenyataan itu menjelaskan individu berkenaan telah ditahan polis pada 25 Februari lalu, sehari selepas kejadian diketahui umum dan telah didakwa di mahkamah hari ini.
“Kerajaan menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam dan kesucian al-Quran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








