MBSA selamatkan 1.4 tan lebihan makanan dari bazar Ramadan
PUTRAJAYA – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui Program ‘MySave Food’ berjaya ‘menyelamatkan’ sejumlah 1,425.9 kilogram (kg) atau bersamaan 1.4 tan lebihan makanan yang dikumpul dari tiga buah bazar Ramadan tahun ini.
MBSA dalam kenyataannya berkata, sebanyak 765.3 kg makanan diselamatkan pada hari ketiga bazar Ramadan di tiga lokasi iaitu Bazar Ramadhan Stadium Shah Alam Seksyen 13; Bazar Ramadhan Seksyen 17 dan Bazar Ramadhan Seksyen 19.
“Peniaga dinasihatkan supaya merancang dengan baik kuantiti juadah yang disediakan bagi mengurangkan lambakan makanan yang tidak habis dijual,” kata majlis bandaraya tersebut.
Dalam pada itu, para peniaga bazar disaran menghantar makanan yang tidak terjual ke khemah MBSA ‘MySave Food’yang disediakan di tiga tapak bazar berkenaan.