Liputan 5G Malaysia berada dalam ranking utama dunia – Fahmi
BARCELONA – Malaysia berjaya mencatatkan pencapaian yang cemerlang dalam liputan 5G apabila menduduki tangga ketiga peringkat global.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berdasarkan data Speedtest Intelligence Ookla, pada suku keempat tahun lalu, Malaysia menduduki tangga ketiga peringkat global bagi kelajuan muat turun 5G iaitu 451.79 Mbps.
Fahmi berkata, melalui penubuhan syarikat tujuan khas (SPV), ia telah mempercepat proses pelaksanaan 5G di mana Malaysia mencatatkan liputan rangkaian sebanyak 80.2 peratus di kawasan berpenduduk.
“Ini meletakkan Malaysia mendahului negara jiran di Asia Tenggara, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke Mobile World Congress (MWC 2024) di Barcelona, Sepanyol.
Kongres itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Dalam penampilan itu, buat julung kalinya negara melancarkan Pavilion Malaysia.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, sebanyak 8.4 juta premis telah dilengkapi dengan akses internet berkelajuan gigabit, sementara purata kelajuan jalur lebar adalah sebanyak 178.1Mbps, menandakan pencapaian yang membanggakan.
Justeru, beliau melahirkan keyakinan dengan keupayaan Malaysia untuk beralih kepada model dwirangkaian dan memacu inovasi serta meningkatkan prestasi rangkaian mudah alih.
Ujarnya, ini mencerminkan Malaysia terbuka untuk menerima teknologi baharu dan memupuk persekitaran yang menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan.
“Berdasarkan laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Malaysia turut melakar kejayaan setelah memperoleh skor cemerlang 94.5 daripada 100, dalam Indeks Pembangunan ICT 2023.
“Skor ini menjangkau purata global yang membolehkan Malaysia berada di kedudukan ke-15 peringkat global dan ketiga di rantau ASEAN,” katanya.
Sementara itu dalam MWC 2024, beberapa memorandum persefahaman akan ditandatangani yang menumpukan bidang strategik utama dan tidak terhad kepada penyelesaian 5G bertaraf dunia, percubaan lapangan termaju 5G serta pembangunan bakat dalam industri komunikasi.
Dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak sebagai agensi pelaksana, pavilion tersebut membuka peluang untuk negara menyerlahkan komitmen dan ketersediaan sebagai hab inovasi dalam sektor komunikasi.
Tema Pavilion Malaysia iaitu “Accelerating a Connected Tomorrow” mencerminkan komitmen Malaysia untuk memacu pembangunan dan inovasi yang kini bergerak pantas.