UMNO mahu kemukakan rayuan pengampunan Najib kepada Agong
KUALA LUMPUR – UMNO akan mengemukakan rayuan baharu kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim, bagi mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menghadiri Mesyuarat Khas MKT di sini, hari ini, bagi membincangkan pengumuman semalam berhubung pengurangan hukuman dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Sehubungan itu, katanya, UMNO akan menganjurkan kempen mengumpul tandatangan ahlinya di seluruh negara dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh diraja untuk Najib.
Beliau berkata, kempen itu akan dimulakan dengan Presiden UMNO berjumpa Ketua Bahagian untuk menerangkan kedudukan sebenar berhubung isu terbabit.
“Kita (Ahli MKT UMNO) menjunjung kasih keputusan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Lembaga Pengampunan.
“Namun, kita bersedih kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh, dan UMNO akan berusaha mengumpulkan tandatangan di seluruh negara untuk merayu Yang di-Pertuan Agong Ke-17 supaya mempertimbangkan sekali lagi pengampunan diraja kepada Najib,” katanya memetik laporan Bh Online.
Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Khas MKT di ibu pejabat UMNO.
Semalam, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.