Piala Asia: Korea Selatan mara ke suku akhir tundukkan Arab Saudi
QATAR – Pasukan Korea Selatan terpaksa menunggu sehingga penentuan sepakan penalti sebelum berjaya menumbangkan Arab Saudi dengan keputusan 4-2 untuk mara ke pusingan suku akhir Piala Asia 2023.
Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan awal pagi tadi.
Penjaga gol Jo Hyeon Woo muncul wira Korea Selatan pada penentuan penalti itu apabila menafikan percubaan Sami Al-Naji dan Abdulrahman Ghareeb.
Mohammed Kanno dan Saud Abdulhamid masing-masing tenang menyempurnakan dua penalti pertama Arab Saudi sebelum tendangan Al-Naji dan Ghareeb yang kedua-duanya menghala ke arah kiri gol bijak dibaca Hyeon Woo untuk menepis bola keluar.
Kapten Korea, Son Heung Min bersama Kim Young Gwon, Gue Sung dan Hwang Hee Chan menyempurnakan tugas dengan baik selepas tidak berdepan masalah menewaskan Ahmed Al-Kassar di pintu gol Arab Saudi.
Juara dua kali Korea Selatan akan bertemu juara 2015, Australia pada suku akhir di Stadium Al Janoub, Jumaat ini.