Tiada sambutan ambang Tahun Baharu tanda solidariti kepada Palestin, mangsa banjir – Fahmi
SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan tidak membuat sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024, demikian maklum Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, ia sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang kini ditindas dengan kejam oleh rejim zionis Israel dan menghormati mangsa banjir di beberapa negeri.
“Di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mungkin diadakan program sambutan yang bersesuaian dengan keadaan setempat,” katanya memetik laporan Bernama.
Terdahulu, Fahmi merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, media sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam akan menganjurkan Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 pada Ahad ini di Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sebagai alternatif untuk masyarakat Islam Malaysia yang lazim menyambut Tahun Baharu Masihi.
Mengulas mengenai status 130 stesen pemancar komunikasi yang terjejas akibat banjir di Sabah, Kelantan, Pahang, Selangor dan Terengganu, Fahmi berkata setakat ini, sebanyak 53 stesen sudah beroperasi semula manakala selebihnya sedang dibaik pulih.
“Saya harap dalam sehari dua, jumlah ini akan berkurangan dan kawasan yang terkesan kita akan kaji sama ada ia adalah kawasan berulang dari segi kerosakan kepada menara telekomunikasi atau kawasan baharu,” katanya lagi.