PRN Melaka: Isu air, jalan raya dan kebajikan jadi tumpuan Jegan di DUN Gadek
ALOR GAJAH – Masalah bekalan air, sistem perparitan dan keadaan jalan raya antara isu utama yang dibangkitkan penduduk kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, Jegasilan Kungamboo atau Jegan K., sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata, aduan berhubung masalah berkenaan sering diterima ketika mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah, khususnya di kawasan perumahan yang berdepan isu kemudahan asas.
Menurutnya, masalah bekalan air termasuk paip pecah dan gangguan tekanan air sehingga menjejaskan kawasan berkedudukan tinggi antara perkara yang memerlukan perhatian.
“Isu yang selalu dibangkitkan ketika bersembang ialah mengenai air, longkang dan jalan raya termasuk turapan. Setiap taman ada masalah ini.
“Apabila musim kemarau, bekalan air tidak dapat dipulihkan, selain masalah paip pecah dan kawasan tinggi yang tidak mendapat air,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk di sini hari ini.

Baca juga : Jegan korban sambutan Deepavali demi kempen PRN Melaka
Selain kemudahan infrastruktur, Jegan berkata, aspek kebajikan juga perlu diberi perhatian kerana terdapat penduduk yang masih memerlukan bantuan meskipun memiliki rumah dan kenderaan sendiri.
Katanya, tanggapan bahawa seseorang tidak memerlukan bantuan hanya kerana mempunyai kediaman dan kenderaan perlu diperbetulkan kerana keadaan sebenar kehidupan mereka mungkin berbeza.
Beliau memberi contoh individu yang tinggal di rumah dibeli oleh pasangan atau suami yang telah meninggal dunia, namun masih memerlukan sokongan kebajikan.
“Orang selalunya tengok rumah ada, kereta ada, mereka ingat dia tidak perlukan kebajikan. Tetapi mereka juga memerlukannya.
“Perkara penting adalah kebajikan kerana ramai penduduk yang saya temui membangkitkan perkara itu sebagai keutamaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha membantu golongan memerlukan perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya sekiranya PH diberikan mandat pada PRN kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














