POLITIK

Kapten Mat cadang TVET pembuatan bot, jaring nelayan di Telok Mas

TELOK MAS – Potensi industri perikanan di kawasan pesisir pantai mahu dimanfaatkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Kapten (B) Mohamad Jaafar, menerusi cadangan mewujudkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus dalam pembuatan bot serta jaring nelayan.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang perikanan, malah membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan muda, khususnya mereka yang tidak mempunyai kelayakan pendidikan tinggi.

Katanya, cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membangunkan latihan kemahiran berasaskan keperluan industri tempatan.

“Saya akan minta kerajaan Persekutuan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan TVET. TVET di DUN Telok Mas. Salah satu daripada saya nak wujudkan TVET ialah berkenaan dengan perikanan.

“Kita berhampiran dengan laut, kita wujudkan satu kilang ataupun membuat bot. Membuat bot nelayan. Kalau dah ada kemahiran buat bot nelayan ni, bot ni pun boleh dieksport,” katanya kepada pemberita selepas program Santai Petang di Telok Mas, semalam.

Baca juga : Masjid baharu tepi laut mampu jana ekonomi, tarik pelancong ke Telok Mas – Kapten Mat

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Kapten Mat berkata, latihan itu turut merangkumi kemahiran menghasilkan jaring nelayan secara profesional dengan penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan kerja.

Menurutnya, pendekatan berkenaan dapat menyediakan laluan kerjaya kepada golongan muda, termasuk Gen Z yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau golongan Gen Z, yang muda-muda yang tak ada pendidikan tinggi ni, dia boleh kepada TVET tu. Buat bot, buat jaring, secara profesional. Cara orang kata, digitallah, Ia menyenangkanlah. Jadi pekerjaan tu dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata, peluang pekerjaan antara perkara yang mahu diberi perhatian memandangkan penduduk Telok Mas turut bekerja dalam sektor perkilangan, termasuk industri elektronik, selain sektor swasta dan kerajaan.

Katanya, kawasan berkenaan mempunyai kawasan perindustrian yang menempatkan beberapa kilang, namun terdapat juga kilang yang sudah ditutup.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pembangunan ekonomi Telok Mas perlu diperkasakan dengan memanfaatkan kelebihan geografinya yang terletak di kawasan pesisir pantai.

Selain industri perikanan dan pembuatan, katanya, sektor pelancongan turut berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu bagi kawasan berkenaan.

“Pantai di DUN Telok Mas ni sangat berhargalah orang kata dari segi pelancongan. Memang boleh wujudkan sektor pelancongan di DUN Telok Mas ni sebab kita di persisiran pantai,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button