Dua beranak maut kereta terbabas masuk laluan bertentangan
KULAI – Seorang wanita dan ibunya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Dr Fatimahtuzarah Md Amin, 30, yang memandu kereta jenis Mazda, meninggal dunia bersama ibunya, Rosmani Abdul Ghani, 69.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) ke Tampoi ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas, terbalik dan memasuki laluan bertentangan.
Kenderaan itu kemudian bertembung dengan sebuah Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 30 tahun.
“Akibat kejadian itu, pemandu dan penumpang kereta jenis Mazda itu mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu Toyota Vios hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk proses bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








