BERITA SEMASA

Sultan Selangor gering akibat influenza A

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini gering akibat virus Influenza A.

Menurut Istana Alam Shah, keadaan kesihatan baginda bagaimanapun kini beransur pulih namun baginda masih mengalami demam.

Dalam kenyataan sama, pihak istana memaklumkan gejala berkenaan disahkan oleh doktor-doktor peribadi yang merawat baginda, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng.

“Gejala jangkitan mula dikesan pada pagi Jumaat, 30 Oktober (semalam) apabila baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.

“Berdasarkan penilaian mereka (doktor), baginda berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka,” kata Istana Alam Shah dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, doktor yang merawat menasihati baginda supaya berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis bagi tempoh lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya.

“Susulan perkembangan terbaharu ini, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan ke hari Sabtu, 7 November depan.

“Semua pihak yang terbabit dimohon mengambil maklum mengenai perubahan tarikh berkenaan. Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan supaya Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada baginda,” kata hantaran itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button