17 ekor ayam dipercayai untuk sabung disita di Manjung
LUMUT – Sebanyak 17 ekor ayam hidup yang dipercayai digunakan untuk kegiatan sabung ayam disita Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam operasi penguatkuasaan di sebuah rumah di Resident 3, Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP), di sini semalam.
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM, Mohamad Sharil Salihan berkata, tindakan itu diambil selepas pemilik kediaman gagal mematuhi notis yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Menurutnya, notis berkenaan mengarahkan pemilik membersihkan kediaman serta menghentikan aktiviti membela ayam yang menyebabkan kacau ganggu kepada persekitaran.
“Bagaimanapun, pemilik kediaman ingkar dengan arahan. Justeru tindakan penguatkuasaan diambil MPM dan kita telah menyita ayam-ayam dipercayai digunakan untuk kegiatan sabung tersebut,” katanya.
Beliau berkata, selain 17 ekor ayam hidup, pihaknya turut menyita dua sangkar berbentuk bulat dan sebuah sangkar berbentuk petak.
Katanya, tindakan sitaan itu bertujuan memastikan aktiviti pemeliharaan haiwan di kawasan kediaman tidak menimbulkan kacau ganggu serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Mohamad Sharil tidak menolak kemungkinan kediaman berkenaan digunakan tanpa kebenaran oleh pihak tidak bertanggungjawab, manakala pemilik rumah mungkin tidak menyedari rumahnya diceroboh.
“Berkemungkinan rumah itu disewa oleh pemilik ayam berkenaan. Sewaktu operasi sita dijalankan MPM tiada sesiapa yang berada di kediaman berkenaan.
“MPM akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran kawasan kediaman sentiasa bersih, teratur dan selesa untuk semua,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








