JENAYAH & MAHKAMAH

Kes seludup dadah ke Hong Kong disyaki didalangi sindiket yang sama

KUALA LUMPUR – Dua kes penyeludupan kokain melibatkan warga China dari Pulau Pinang ke Hong Kong pada 22 dan 25 Oktober lalu disyaki didalangi oleh sindiket yang sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua kes berkenaan didapati memasuki Malaysia melalui laluan yang hampir sama, selain memiliki pasport baharu tanpa rekod perjalanan antarabangsa sebelum ini.

“Kemungkinan besar sindiket di China merekrut warga negara itu yang mempunyai masalah kewangan untuk membawa dadah ke Hong Kong melalui Malaysia,” katanya dalam laporan portal Buletin Uatama, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berlepas dari Shenzhen menggunakan penerbangan AirAsia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum perjalanan mereka diatur pihak tertentu ke Pulau Pinang untuk menaiki penerbangan Cathay Pacific ke Hong Kong.

Hussein berkata, suspek pertama dipercayai direkrut dengan tawaran ganjaran kewangan, manakala suspek kedua yang mempunyai masalah hutang dijanjikan penyelesaian hutangnya jika bersetuju membawa dadah berkenaan.

Related Articles

“Penggunaan laluan penerbangan dari Pulau Pinang mungkin bertujuan untuk mengelakkan kawalan keselamatan yang semakin ketat di KLIA,” katanya lagi.

Dalam kes pertama pada 22 Oktober lalu, Kastam Hong Kong menahan lelaki warga China berusia 25 tahun selepas tiba dari Pulau Pinang dan menemukan dua kilogram kokain dalam bagasi daftar masuknya.

Siasatan awal JSJN mendapati, suspek memperoleh dadah itu daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang dan dipercayai berada di Malaysia selama tiga hari.

Dia dijanjikan ganjaran RMB2,000 (kira-kira RM1,225).

Dalam kes kedua pada 25 Oktober lalu, seorang lagi lelaki warga China berusia 39 tahun ditahan selepas tiba dari Pulau Pinang, dengan pemeriksaan bagasi kabinnya menemukan kira-kira 2.2 kilogram kokain bernilai HK$1.3 juta (kira-kira RM677,000).

Hussein berkata, JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Hong Kong untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rangkaian sindiket yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button