PSSC teliti semula cadangan pengasingan Pendakwa Raya, Peguam Negara
KUALA LUMPUR – Cadangan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan dibincangkan semula oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) minggu depan selepas menerima maklum balas Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung isu berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, AGC diberikan tempoh dua minggu untuk memperincikan maklum balas sebelum perkara itu dibawa semula ke mesyuarat jawatankuasa berkenaan.
“Memandangkan PSSC dianggotai ahli daripada kerajaan dan pembangkang, AGC diberikan tempoh dua minggu untuk mengemukakan maklum balasnya. Minggu depan, sebaik sahaja kita menerima jawapan mereka, saya akan mengadakan satu lagi mesyuarat PSSC.
“Ahli parti juga boleh berhubung dengan wakil masing-masing dalam jawatankuasa itu untuk mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenai isu perundangan yang terbabit,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata, mekanisme yang dicadangkan itu turut membolehkan pelantikan Pendakwa Raya dibahaskan di Parlimen, dengan nama calon dikemukakan oleh Dewan Rakyat sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pada 3 Mac lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk kepada PSSC untuk penelitian lanjut.
Mengikut kerangka dicadangkan, Pendakwa Raya akan bertanggungjawab menyelia semua pendakwaan jenayah, manakala Peguam Negara bertindak sebagai penasihat undang-undang kerajaan bagi perkara selain undang-undang jenayah.
Pendakwa Raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicara baginda atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Cadangan itu berbeza daripada sistem sedia ada, yang menetapkan pelantikan Peguam Negara oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Minggu lalu, PSSC meminta AGC memperincikan perkara yang dibangkitkan oleh Majlis Raja-Raja untuk dibentangkan semula kepada jawatankuasa itu dalam tempoh dua minggu.
RUU berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat penuh Majlis Raja-Raja pada 14 dan 15 Oktober lalu.
Pada pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan kekal komited melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








