Mengaku salah aibkan kehormatan wanita, TikToker didenda RM4,500
KOTA BHARU – Seorang TikToker yang mencari rezeki dengan menjual laksa didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mengaibkan kehormatan seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp.
Tertuduh, Nur Hazwani Mustapha, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Vinoshen Raveentharan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Metro Online.
Mengikut pertuduhan, tertuduh mengaibkan kehormatan Nur Faezah Sohaimi, 33, dengan menyamakannya dengan pelacur menerusi aplikasi WhatsApp di Kampung Dusun Muda pada 1 November 2025.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Baihaqi Mohd Saidi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali.
Ketika merayu hukuman, Muhammad Husni memohon mahkamah mengenakan denda minimum dengan mengambil kira keadaan tertuduh yang merupakan ibu tunggal dan perlu menyara empat anak berusia antara enam hingga 17 tahun.
Beliau berkata, tertuduh hanya menjual laksa bagi menampung keperluan hidup keluarganya selain kesalahan itu merupakan kesalahan pertama dilakukannya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 dan tertuduh menjelaskan bayaran berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








